ANGGOTA polis mengiringi lelaki berusia 48 tahun untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tiga pertuduhan cuba merogol dan melakukan seksual fizikal ke atas anak saudara perempuannya berusia lapan tahun pada Jun lalu di Jalan Kuala Nerang. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA polis mengiringi lelaki berusia 48 tahun untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tiga pertuduhan cuba merogol dan melakukan seksual fizikal ke atas anak saudara perempuannya berusia lapan tahun pada Jun lalu di Jalan Kuala Nerang. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


“SAYA berjanji dengan Allah SWT, saya tak akan ganggu dia jika diberi ikat jamin serendah-rendahnya asal dapat duduk di luar."

Demikian kata jurukimpal yang meminta Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, membenarkan dia diikat jamin selepas mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan cuba merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak saudara perempuannya, Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 48 tahun membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan Azman Abu Hassan.

Di Mahkamah Sesyen 4, tertuduh didakwa cuba merogol anak saudaranya berusia lapan tahun di rumah di Pokok Sena pada 3 petang, 16 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh disebat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, lelaki terbabit mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal kepada mangsa sama.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah sama pada 2 petang, 17 Jun lalu.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba kemaluan anak saudaranya di rumah sama pada 5 petang, 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rehab memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin untuk keselamatan mangsa yang tinggal berjiran dengannya dan mempunyai hubungan keluarga selain dia juga mempunyai rekod disabitkan hukuman penjara 16 tahun akibat kesalahan rogol.

Bagaimanapun, tertuduh merayu dibenarkan diikat jamin, malah berjanji tidak akan mengganggu mangsa dengan memberi alasan akan tinggal bersama isterinya di Kota Sarang Semut.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 7 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan perubatan, keputusan perbicaraan bersama dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:13 PM