Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Reman suspek yang disyaki melontar bom botol (molotov cocktail) sehingga menyebabkan kebakaran kenderaan dan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, disambung sehari lagi.

Suspek berusia 30-an itu ditahan 12 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Majistret Nurul Izalina Rajaai membenarkan reman terhadap lelaki terbabit dilanjutkan selama sehari, bermula hari ini sehingga esok, bagi membantu siasatan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, 8.50 pagi, dengan menaiki trak polis, sebelum keluar dari bilik mahkamah, 40 minit kemudian.

Dalam kejadian 2.55 pagi 10 Januari lalu, Mercedes Benz E300 milik Koo Ham hangus terbakar di perkarangan rumahnya di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini.

Polis mengesahkan penemuan bom botol di lokasi kejadian dipercayai menjadi punca kebakaran.

Insiden itu turut mengakibatkan kerosakan pada Honda CR-V, Toyota Hilux dan siling halaman rumah Penasihat DAP Perak itu .

Beliau dan isteri yang ketika itu sedang tidur di tingkat atas kediaman terbabit sempat menyelamatkan diri selepas dikejutkan bunyi deringan loceng rumah yang dibunyikan berkali-kali oleh jiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:48 PM
MANJUNG 16 JANUARI 2023. Suspek (baju jingga) kes berunsur khianat sehingga menyebabkan kebakaran kediaman Datuk Ngeh Koo Ham dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung untuk permohonan sambung perintah reman hari ini. STR/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
MANJUNG 16 JANUARI 2023. Suspek (baju jingga) kes berunsur khianat sehingga menyebabkan kebakaran kediaman Datuk Ngeh Koo Ham dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung untuk permohonan sambung perintah reman hari ini. STR/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.