Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan ruang untuk menjalankan siasatan serta mengenal pasti motif dan mengesan suspek insiden melontar bom molotov cocktail ke kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara konsensus mengutuk insiden tersebut.

"Orang ramai dimohon untuk tidak membuat apa-apa andaian atau kesimpulan awal terhadap insiden ini sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh PDRM.

"Adalah diingatkan bahawa tindakan melulu tanpa mempertimbangkan lunas undang-undang adalah merupakan suatu kesalahan yang jika disabitkan boleh dikenakan hukuman yang berat," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail ke rumah Ngeh, sehingga menyebabkan tiga kenderaan terjejas.

Mohd Yusri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Saifuddin Nasution berkata siasatan interim PDRM di lokasi kejadian menemukan satu botol yang disyaki bahan "molotov cocktail" digunakan dalam insiden itu.

"Siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pasukan Forensik PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Ditanya sama ada PDRM akan mempertingkat kawalan keselamatan terhadap Ahli Parlimen susulan insiden itu, beliau berkata PDRM memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam untuk seluruh rakyat Malaysia termasuk Ahli Parlimen.

"Pihak polis ada prosedur operasi standard (SOP) maksudnya kawalan keselamatan dia 24 jam seminggu, bila ada insiden khusus umpama itu sementelah yang terlibat dalam kes ini adalah seorang Ahli Parlimen.

"Keselamatan bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi segenap lapisan rakyat tidak kira pangkat, keduduan atau warna kulit. Tanggungjawab jamin keselamatan mereka tanggungjawab PDRM," katanya.

Ditanya sama ada 'molotov cocktail' yang digunakan dalam insiden itu dihasilkan seorang profesional, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang turut hadir dalam sidang media itu berkata perkara berkenaan akan ditentukan selepas menerima hasil laporan pihak forensik.

"Buat masa ini pihak bomba pun berada di tempat kejadian untuk menentukan elemen ataupun bahan di dalam botol (molotov cocktail) itu.

"Pihak kami juga telah mengambil bahan bukti itu untuk dihantar kepada forensik, jadi selagi kita tak dapat elemen atau bahan tersebut, kita tak boleh beritahu sama ada ia perbuatan profesional atau pun orang biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:38 PM