Penduduk menunjukkan kerosakan jalan di Kampung Serian, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk menunjukkan kerosakan jalan di Kampung Serian, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Kampung Serian, di sini, terpaksa 'bergadai nyawa' setiap hari melalui jalan yang runtuh dan mendap sejak bermula Monsun Timur Laut (MTL) tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa terdapat lima tempat berlaku kerosakan teruk di jalan perkampungan itu sejak dua bulan lalu.

Penduduk, Muhamad Rofi Ismail, 56, berkata, setiap hari penduduk terpaksa berhadapan dengan risiko berlaku kemalangan kerana jalan rosak teruk.

Katanya, penduduk tiada pilihan dan perlu melalui jalan terbabit untuk keluar ke bandar Gua Musang dan menghantar anak sekolah setiap pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi.

"Kami tiada pilihan terpaksa melalui jalan rosak walaupun sangat berisiko berlaku kemalangan.

"Sudah tiga bulan kami terpaksa berhadapan dengan semua ini dan sangat berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

"Pernah satu minggu pada Disember lalu kami tidak dapat keluar kerana masalah jalan rosak dan mendap sehingga kami terpaksa bergotong-royong membaiki jalan bagi membolehkan ia dilalui penduduk," katanya ketika ditemui di Kampung Serian, di sini.

Bagi Muhammad Faisal Yaakob, 32, laluan yang rosak akibat tanah runtuh dan jalan mendap sangat berisiko kepada penduduk kampung.

"Seawal jam 6.30 pagi sudah ada penduduk yang keluar untuk menghantar ke sekolah, sedangkan ketika itu jalan masih gelap, kita bimbang sekiranya kejadian tanah mendap dan runtuh ini berlaku pada waktu malam dan tidak disedari pengguna.

"Situasi ini boleh menyebabkan berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa penduduk. Malah kami juga sukar keluar bagi membeli bekalan makanan kerana keadaan jalan rosak.

"Ada ketikanya kami terpaksa menggunakan jambatan jalan kereta api untuk keluar dari perkampungan apabila keadaan terdesak namun tidak ramai penduduk yang berani mengambil risiko," katanya.

Dia berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk yang kerap berlaku apabila tibanya musim tengkujuh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau sudah membuat tinjauan dan sudah mengajukan masalah itu kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) serta Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang.

"Saya sudah panjangkan kepada JPP dan Pejabat Tanah Gua Musang untuk usahakan peruntukan segera bagi membaiki laluan terbabit.

"Sekurang-kurangnya untuk membaiki kerosakan serius sebelum kaedah jajaran jalan baru, tetap dan selamat dibuat. Ia memastikan pengguna jalan itu tidak lagi mengalami situasi seperti sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 10:53 AM