MOHAMAD Zulkefly (kanan) meneliti pengaliran air dari bukit di Lojing yang menyebabkan tanah runtuh hingga merosakkan Jalan Gua Musang-Lojing. FOTO Ramli Ibrahim
MOHAMAD Zulkefly (kanan) meneliti pengaliran air dari bukit di Lojing yang menyebabkan tanah runtuh hingga merosakkan Jalan Gua Musang-Lojing. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima 267 laporan berkaitan kerosakan jalan, jambatan serta cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda bencana banjir.

Laporan itu membabitkan Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, susulan itu, pihaknya sudah mengarahkan semua JKR negeri membuat pemantauan.

Aduan antaranya membabitkan 141 kerosakan jalan kerana banjir, cerun runtuh (58) serta lapan jalan mendap.

"JKR juga mengambil tindakan segera untuk membaiki jalan rosak.

"Bagaimanapun, ada jalan yang rosak teruk dan ia mengambil masa untuk dibaiki selain bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat lokasi jalan FT185 yang rosak akibat tanah runtuh dan banjir lumpur di Lojing dekat sini, hari ini.

Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh pemangku Pengarah JKR Negeri Kelantan Ir Mohd Suhaili Ismail tentang kejadian terbabit.

Mohamad Zulkefly berkata, pihaknya menganggarkan kos RM5.3 juta diperlukan bagi kerja pembaikan jalan di laluan FT185, Jalan Gua Musang-Lojing itu.

"Kos itu diperlukan segera untuk kerja pembaikan kritikal di sepanjang laluan berkenaan terutama bagi menyelesaikan masalah laluan terputus dan rosak.

"Keadaan kerosakan teruk sejauh dua kilometer itu boleh mengancam keselamatan pengguna jika tidak dibaik pulih segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:34 PM