Paya Linda

Gua Musang: Lebih 200 penduduk Kampung Miak, di sini, resah apabila jambatan utama yang menghubungkan kampung itu dengan dengan Kampung Laloh, Kuala Krai, rosak kerana hujan lebat sejak bulan lalu.

Tinjauan mendapati jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu menghubungkan Kampung Miak dan bandar Laloh, Kuala Krai terputus akibat arus deras kerana hujan lebat pada 21 Disember lalu.

Difahamkan, walaupun berada dalam jajahan Gua Musang, namun bandar yang paling hampir untuk penduduk membeli barangan keperluan adalah di Laloh, Kuala Krai.

Wakil penduduk, Tg Usri Tg Hamzah, 55, berkata, disebabkan jambatan utama runtuh, penduduk sukar untuk keluar masuk.

Katanya, lebih menyukarkan apabila ibu bapa terpaksa meminta bantuan daripada penduduk di kawasan Laloh, Kuala Krai, untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

"Sejak jambatan terputus pada 21 Disember lalu akibat kejadian kepala air, hanya kenderaan pacuan empat roda dapat melaluinya, selain penduduk terpaksa meniti di atas kayu balak untuk merentasi Sungai Dapok.

"Malah, penduduk juga sukar untuk keluar membeli barangan keperluan asas dan ada kalanya terpaksa mengirim barang kepada rakan-rakan yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika ditemui di Kampung Miak, di sini, hari ini.

Bagi Tg Sharifah Hidayah Tg usri, 29, dia bersama dua anaknya terpaksa menunggu kenderaan dari Laloh, Kuala Krai untuk membawa anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Jasa.

"Lebih satu jam kami terpaksa menunggu di tebing Sungai Dapok bagi membolehkan kenderaan dari Laloh mengambil dua anak yang berusia dua dan sembilan tahun untuk dihantar ke sekolah.

"Saya turut membawa bekal makanan bersama," katanya.

Penduduk, Muhammad Hasan, 56, pula berkata, sejak Disember lalu urusan penduduk membawa keluar hasil getah dan tanaman untuk dijual turut tergendala selepas jambatan yang dibina oleh syarikat pembalak sejak 70-an itu rosak sepenuhnya.

"Kami berharap syarikat pembalakan dapat membaik pulih secepat mungkin jambatan itu, selain pihak berwajib dapat menimbangkan pembinaan jambatan kekal atau laluan alternatif untuk kegunaan penduduk di perkampungan ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Arifin berkata, pihaknya sudah sedia maklum masalah yang dihadapi penduduk Kampung Miak.

"Berkaitan jambatan Kampung Miak, setakat ini pembalak akan mengambil tanggungjawab membuat dan membaiki jambatan yang rosak.

"Namun, dalam masa sama saya akan memanjangkan permohonan ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah jika boleh dibina jambatan baharu untuk kegunaan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:27 PM
Jambatan Sungai Dapok yang menghubungkan Kampung Miak, rosak pada 21 Disember lalu. FOTO Paya Linda Yahya
Jambatan Sungai Dapok yang menghubungkan Kampung Miak, rosak pada 21 Disember lalu. FOTO Paya Linda Yahya