Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Polis merampas dadah heroin base seberat 7.41 kilogram (kg) bernilai RM7.89 juta dan menahan tiga suspek dalam serbuan di sebuah kondominium sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Hong Kong dan seorang wanita Mongolia.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menyembunyikan heroin base di dalam patung batu berbentuk haiwan sebelum diseludup ke Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier dan mengisytiharkannya sebagai barangan seni.

"Sindiket berkenaan membuat sendiri patung-patung berkenaan menggunakan acuan yang turut dirampas di sebuah premis kediaman yang dijadikan tempat untuk memproses heroin base berkenaan.

"Heroin base berkenaan akan diseludup untuk pasaran di Hong Kong dan akan diproses semula sebelum dijual di sana," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

MOHD Kamarudin menunjukkan barang rampasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Kamarudin menunjukkan barang rampasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Menurutnya, sebuah patung boleh memuatkan 10 ketulan mampat heroin base atau lima paket plastik dadah jenis sama jika tidak dimampatkan.

Katanya, Biro Narkotik Hong Kong yang bekerjasama dengan JSJN turut menahan seorang lelaki dan wanita berusia 26 tahun dalam satu operasi di negara itu kerana disyaki terbabit dengan sindiket sama.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah boleh digunakan seramai 399,168 penagih dadah dan polis turut merampas pelbagai peralatan untuk membungkus semula dadah termasuk serbuk bahan kimia.

"Saringan awal mendapati suspek wanita Mongolia positif dadah methamphetamin dan amphetamin manakala hanya suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki sindiket untuk dibawa ke muka keadilan.

"JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN 0122087222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:24 PM