Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) mendengar taklimat berkenaan projek LTU dekat Paloh.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) mendengar taklimat berkenaan projek LTU dekat Paloh.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan ada dalam kalangan 23 Ahli Parlimennya menyokong akuan bersumpah (SD) yang digerakkan pihak tertentu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, parti itu tiada sebab untuk berbuat demikian kerana Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup stabil.

Menurutnya, kestabilan politik menjadi matlamat utama GPS ketika menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan setahun lalu dan kini ia sudah dicapai.

"Keutamaan GPS ialah untuk memulihkan ekonomi serta memajukan negara dan untuk mencapainya kita memerlukan kerajaan pusat yang stabil.

"Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar sekarang sudah stabil untuk membolehkan kita melaksnakaan semua program pembangunan di Sarawak dan Malaysia keseluruhannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, GPS juga berpegang kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kerajaan yang stabil bagi menjaga kepentingan rakyat.

"Setakat hari ini, GPS tidak pernah berganjak daripada pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani serta berpegang teguh kepada titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kapit itu meminta pihak yang mendakwa ada dalam kalangan Ahli Parlimen GPS menandatangani SD terbaharu itu supaya menghentikannya.

"Saya merayu kepada mereka cukup-cukuplah, janganlah mengheret GPS dalam usaha itu.Tiada ahli GPS menandatangani SD itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 4:48 PM