Lelaki warga emas melecur 20 peratus selepas kediamannya di Blok B, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Petaling terbakar pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki warga emas melecur 20 peratus selepas kediamannya di Blok B, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Petaling terbakar pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas melecur 20 peratus selepas kediamannya di Blok B, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Petaling terbakar pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan pada jam 6.41 pagi, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi, Roshdi Fitri Roslan berkata, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dibantu BBP Bandar Tun Razak, BBP Sri Petaling dan BBP Seputeh dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat satu berkeluasan dan anggaran peratus kebakaran adalah sebanyak 70 peratus.

"Kebakaran turut membabitkan seorang mangsa lelaki warga emas mengalami kecederaan melecur 20 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan pasukan bomba menggunakan teknik pemadaman secara offensive dan defensive berjaya mengawal kebakaran dari kemusnahan yang lebih besar.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.50 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 10:39 AM