KILANG cat di Nilai 3 yang terbakar petang tadi. FOTO ihsan Bomba
KILANG cat di Nilai 3 yang terbakar petang tadi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Amin Jalil


Nilai: Orang ramai dan pengguna jalan raya panik apabila sebuah kilang pengeluar cat di Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, terbakar hingga apinya menjulang setinggi lebih 50 meter.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 4.05 petang tadi.

Katanya, seramai 64 anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sekitar Nilai, Seremban dan Mantin tampil membantu memadamkan kebakaran yang dianggap amat besar.

"Turut memberi bantuan adalah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Seremban serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa jentera termasuk lori tanker berkapasiti 2,500 liter.

"Kebakaran membabitkan kilang mengeluarkan cat dengan kemusnahan struktur bangunan sekitar 70 peratus.

"Api dapat dikawal pada jam 4.50 petang tadi dan kerja-kerja memadam kebakaran masih dilakukan untuk memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan pihak forensik, bagaimanapun setakat ini tiada mangsa yang terbabit.

Menurutnya, semua pekerja kilang berkenaan berjaya keluar daripada bangunan sebaik kebakaran itu dapat dikesan.

"Proses memadam kebakaran masih terus dijalankan dan pemantauan akan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:45 PM