Lokasi jengkaut terbakar dan menyebabkan seorang pekerja kilang di Kawasan Perusahaan Bebas Perai, Butterworth melecur hari ini. Foto Ihsan JBPM
Lokasi jengkaut terbakar dan menyebabkan seorang pekerja kilang di Kawasan Perusahaan Bebas Perai, Butterworth melecur hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pekerja kilang melecur di badan selepas jengkaut dipandunya terbakar di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bebas Perai di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 11 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun berkenaan dikatakan sedang mengendalikan sebuah jengkaut di tempat kerjanya sebelum berlaku kebakaran terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.07 pagi.

"Apabila tiba di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah jengkaut dan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 40 peratus.

"Kebakaran turut membabitkan sebahagian kecil struktur bangunan kilang terbabit," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu sudah dipadamkan pekerja kilang terbabit sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

"Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 7:02 PM