Anggota bomba memeriksa pencawang elektrik yang terbakar. FOTO Mohd Adam Arinin
Anggota bomba memeriksa pencawang elektrik yang terbakar. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana

 

TIGA kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) parah manakala tiga lagi cedera selepas pencawang elektrik dibaiki mereka terbakar di Kompleks Api-Api, Kota Kinabalu, malam semalam

Kejadian pada 10.50 malam itu, tiga mangsa melecur 60 hingga 80 peratus, manakala tiga lagi melecur 20 peratus.

Semua mangsa berusia 20 tahun hingga 50 tahun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1(HQE 1) untuk rawatan.

Difahamkan, ketika kejadian mereka sedang membaiki kabel elektrik di pencawang selepas bekalan elektrik terputus.

Ketika melakukan kerja-kerja pemulihan, tiba-tiba berlaku percikan api sebelum terbakar.

Jrucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.57 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan pencawang elektrik yang terbakar dan api berjaya dikawal pada 11.23 malam.

"Terdapat beberapa mangsa cedera akibat melecur dan dihantar menggunakan kenderaan ambulans ke HQE 1 untuk rawatan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Sabah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 1:29 AM