DR Dzulkefly (kiri) melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial, Rantau Panjang. FOTO BERNAMA
DR Dzulkefly (kiri) melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial, Rantau Panjang. FOTO BERNAMA
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dalam keadaan terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kakitangan KKM juga mencukupi untuk mengendalikan mangsa yang dijangkiti Covid-19 susulan jumlah kes masih dalam skala kecil.

Menurutnya, majoriti mangsa yang dijangkiti adalah dari kawasan terjejas teruk akibat banjir iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah.

Katanya, mereka hanya berada di tahap satu atau dua Covid-19, selain ada antara mangsa yang tidak bergejala.

"Setakat hari ini, di Kelantan merekodkan 15 kes Covid-19 sejak gelombang pertama banjir bermula iaitu pada November lalu. Jumlah sangat terkawal, tetapi masih perlu berjaga-jaga terutama kepada golongan rentan seperti pesakit kencing manis dan darah tinggi.

"Kita mengesahkan kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir berada pada tahap biasa, (tetapi) bergantung juga kepada jumlah katil serta beban Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital seluruh Kelantan.

"Saya berharap tiada pihak menyebarkan informasi tidak benar akan situasi sebenar di PPS kerana semua kakitangan KKM yang menguruskan mangsa banjir memberi perkhidmatan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini, hari ini.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menguruskan kes Covid-19 di PPS dengam sangat baik.

Semalam, media melaporkan sebanyak 14 kes baharu Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 3:18 PM