Unit Anjing Pengesan K9 JBPM terlibat dalam usaha mencari petunjuk.
Unit Anjing Pengesan K9 JBPM terlibat dalam usaha mencari petunjuk.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Siasatan kes kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham masih mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau bahan letupan.

Ketika dihubungi hari ini, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri secara ringkas memaklumkan, suspek yang direman hingga Selasa ini tertakluk kepada siasatan mengikut kesalahan berkenaan.

"Ya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan," katanya yang mengulas gesaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang mahu polis menyiasat secara menyeluruh kes itu termasuk cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ramkarpal semalam dilapor berkata, tindakan pelaku melontar bom petrol pada awal pagi Rabu lalu di garaj rumah Ngeh di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, menunjukkan kemungkinan berniat mendatangkan bahaya lebih besar berbanding apa yang terjadi.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30-an ditahan di Shah Alam, Selangor pada 4 pagi Jumaat lalu selepas disyaki terbabit kes berkenaan.

Polis juga dilapor memaklumkan suspek itu bukan ahli mana-mana parti politik dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 3:34 PM