PENDUDUK kampung menggunakan bot untuk keluar ke jalan utama yang masih terputus akibat banjir di Kampung Delong, Dungun. FOTO BERNAMA
PENDUDUK kampung menggunakan bot untuk keluar ke jalan utama yang masih terputus akibat banjir di Kampung Delong, Dungun. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seramai 3,047 penduduk dilaporkan masih terjejas akibat banjir di Terengganu.

Setakat 8 pagi, kesemua mangsa daripada 814 keluarga berada di 37 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketika ini, semua daerah masih terjejas akibat banjir kecuali daerah Besut yang pulih daripada bencana itu semalam.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,088 orang daripada 558 keluarga di 26 PPS.

Selain itu, seramai 132 mangsa (36 keluarga) berada di dua PPS di Kuala Terengganu manakala seramai 63 mangsa daripada 14 keluarga berlindung di dua PPS di Kemaman.

Jumlah mangsa di Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus tidak menunjukkan perubahan pagi ini.

Di Hulu Terengganu, seramai 630 mangsa (176 keluarga) berada di tiga PPS dan 91 mangsa (22 keluarga) berada di satu PPS di Marang.

Selain itu, seramai 37 mangsa (tujuh keluarga) berada di dua PPS di Setiu manakala satu PPS dibuka di Kuala Nerus bagi menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 9:58 AM