AHMAD (tengah) bersama Noradilah dan Abdul Halim menamatkan ekspedisi kayuhan haji pada Jumaat lalu. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
AHMAD (tengah) bersama Noradilah dan Abdul Halim menamatkan ekspedisi kayuhan haji pada Jumaat lalu. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, kami sudah sampai di Madinah, kelmarin. Sempat tunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi," kata Ahmad Mohd Isa, 36, yang melakukan kembara ekspedisi ke tanah suci Makkah dengan berbasikal bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Ahmad berkata, dia bersama isteri, Noradilah Mohd Shafie, 37, dan seorang lagi rakan, Abdul Halim Talha, 57, melengkapkan perjalanan 150 hari merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran dan Arab Saudi.

Menurutnya, ketibaan di Madinah itu lebih awal daripada jangkaan asal iaitu minggu depan.

"Sebenarnya, kami tiba awal di sini (Madinah). Kalau ikut jangkaan Jumaat depan tapi perancangan Allah sebaliknya, dan rezeki kami juga.

"Sekarang ini apa yang menjadi fokus kami adalah ibadah sehinggalah tiba musim haji nanti. Alhamdulillah, kesihatan kami juga baik.

"Kami juga bersyukur sepanjang pengembaraan ini dipertemukan dengan ramai orang baik. Rakyat Malaysia yang tidak berhenti memberikan sokongan dengan membeli buku dan poskad, orang tempatan di setiap negara, kedutaan dan ramai lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sepanjang pengembaraan Kayuhan Haji itu juga dia berdepan cabaran apabila basikal miliknya banyak kali mengalami kerosakan.

Malah, itu juga menjadi faktor mereka tiba awal di Arab Saudi.

"Basikal saya ini sudah berusia 10 tahun, kiranya agak uzur untuk perjalanan jauh. Jadi, banyak kali rosak. Dari rantai basikal, gear dan lain-lain, kerosakan itu berjangkit-jangkit.

"Disebabkan itu, basikal saya dibawa naik trak ke kawasan bandar untuk dibaiki sebelum meneruskan perjalanan. Apa pun, semuanya dipermudahkan Allah SWT," katanya.

Berkongsi mengenai dana yang digunakan bagi menyempurnakan kayuhan ke Tanah Suci itu, Ahmad berkata setakat ini sudah mencukupi.

"Alhamdulillah, sudah cukup apa yang kami dapat. Selebihnya berserah pada Allah.

"Duit habis untuk kembara ini anggaran RM40,000. Ia membabitkan 40 peratus kenderaan, 30 peratus (penginapan), 15 peratus (makan), 10 peratus (visa) dan lima peratus (lain-lain)," katanya.

Sebelumnya, seorang ahli kumpulan misi kembara itu, Che Saad Nordin, 74, berdepan masalah kesihatan akibat cuaca selepas tiba di Wagah Port, Lahore, Pakistan pada 25 Januari lalu.

Bekas wartawan kemudiannya dihantar pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 3:29 PM