ANWAR ketika sesi dialog bersama penuntut pada sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
ANWAR ketika sesi dialog bersama penuntut pada sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, kapal menggunakan bendera negara itu atau dalam perjalanan ke negara itu, dilarang berlabuh atau memuat kargo di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerajaan terdahulu membenarkan kapal terbabit berlabuh di negara ini, namun beliau tetap menegaskan ia tidak boleh berlabuh di negara ini.

Katanya, puluhan ribu rakyat Palestin dibunuh, negeri dihancurkan dan jutaan rakyat menjadi galau akibat peperangan terbabit.

"Saya tidak kira keputusan Perdana Menteri terdahulu, sekarang keputusan kita tetap melarang kemasukan kapal Israel.

"Saya terpaksa mengambil keputusan ini, bukannya hendak tunjukkan saya hebat, " katanya dalam Sesi Dialog Mahasiswa sempena Majlis Perasmian Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Datuk Mohd Zuki Ali dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, beliau menyedari tindakan berkenaan mempunyai risiko, namun beliau sudah berbincang dengan beberapa menteri bagi mendepani cabaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 7:05 PM