- Foto hiasan
- Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan perempuannya.

Tertuduh, Muhammad Amir Hafiz Hazmi, 20, membuat pengakuan dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Muhammad Amir didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 15 tahun empat bulan di sebuah hotel di daerah ini antara 2 hingga 3 pagi, 18 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi.

Kes itu disebut semula pada 18 Januari tahun depan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:28 PM