FAHMI (tiga kanan) merasmikan Majlis Pelancaran OK Vision diiringi Vincent Tan (tiga kiri) dan Pak Hary Tanoesoedibio, (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran OK Vision hari ini. FOTO Fathil Asri.
FAHMI (tiga kanan) merasmikan Majlis Pelancaran OK Vision diiringi Vincent Tan (tiga kiri) dan Pak Hary Tanoesoedibio, (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran OK Vision hari ini. FOTO Fathil Asri.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kerajaan komited menyokong kerjasama secara 'menang-menang' antara pemain industri tempatan dengan antarabangsa untuk memperluaskan ekosistem teknologi dan media dalam negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital di peringkat global.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pertumbuhan industri media digital boleh membawa kepada peningkatan pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam teknologi dan infrastruktur.

Menurutnya, negara sudah mengalami peralihan ke arah penggunaan media digital dengan peningkatan pengguna yang beralih kepada platform dalam talian untuk hiburan, berita dan maklumat.

"Platform media digital adalah penting kepada ekonomi dan menyumbang kepada penjanaan hasil, pekerjaan, inovasi dan daya saing global.

"Ekosistem digital terus berkembang dan impak ekonomi media digital juga akan berkembang seterusnya membentuk kedudukan negara dalam ekonomi digital global," katanya pada Majlis Pelancaran OK Vision, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemegang Saham Utama U Telemedia Sdn. Bhd (syarikat induk Ansat Broadcast Sdn Bhd) Tan Sri Vincent Tan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MNC Hary Tanoesoedibjo dan Ketua Pegawai Eksekutif Ansat Broadcast, Budiman Hartanu.

Pada majlis berkenaan, penyedia perkhidmatan televisyen langganan tempatan, Ansat Broadcast Sdn. Bhd media terbesar di Indonesia, Kumpulan MNC memperkenalkan platform media digital hiburan baharu, OK Vision.

OK Vision adalah perkhidmatan televisyen dan pengedaran kandungan berlangganan terkini, menggunakan perkhidmatan Direct to Home (DTH) melalui platform Over-the-top (OTT) untuk pasaran Malaysia dengan mempunyai 35 saluran yang dijangka bermula tahun ini.

Berhubung kerjasama strategik berkenaan, Fahmi berkata, ia bukti kekuatan perkongsian merentas sempadan, pertukaran kepakaran dan kreativiti dua negara sekali menunjukkan komitmen memajukan landskap media digital negara.

Katanya, penambahan saluran itu memberi peluang kepada pengguna untuk memilih saluran yang akan dilanggani dan melihat ia sebagai satu persaingan yang bagus.

Sementara itu, mengenai kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025, Fahmi berkata, secara umum dalam aspek komunikasi bukan saja memacu pertumbuhan ekonomi, ia turut memberi peluang untuk negara mengangkat karya sendiri.

"Saya lihat dengan adanya pemain (industri) yang bersedia untuk membuat pelaburan termasuk menghasilkan bahan dan isi kandungan yang berkait rapat dengan penonton.

"Dari segi itu ada lagi banyak peluang untuk kita mengangkat karya, naskah dan seniman kita. Jadi ini saya lihat adalah satu langkah yang cukup positif yang saya alu-alukan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:14 PM