Mohammad Mentek (tengah) merasmikan Majlis Prapelancaran MYTV Mana-Mana sambil diperhatikan Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Shamsul Izhan Abdul Majid (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Mohd Helmi Harith (kiri) di Hotel Hilton Petaling Jaya. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Mohammad Mentek (tengah) merasmikan Majlis Prapelancaran MYTV Mana-Mana sambil diperhatikan Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Shamsul Izhan Abdul Majid (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Mohd Helmi Harith (kiri) di Hotel Hilton Petaling Jaya. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menetapkan untuk mencapai tujuh juta jumlah tontonan MYTV sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) platform itu tahun ini.

Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, ia peningkatan berbanding 6.3 juta tahun lalu.

"Sepanjang tiga tahun ini, MYTV memberikan siaran digital berdefinisi tinggi (HD) secara percuma. Buat permulaan, kita tidak tetapkan KPI untuk jumlah tontonan.

"Bermula tahun ini, kita tetapkan KPI. Kita harapkan supaya jumlah tontonan meningkat.

"Jika berjaya, tahun depan kita akan tetapkan KPI untuk jumlah tontonan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis prapelancaran MYTV Mana-Mana anjuran MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman.

Berkaitan perkhidmatan siaran televisyen penstriman 'Over-the-Top' percuma Malaysia, platform MYTV Mana-Mana, kata beliau, KKD juga mensasarkan 1.6 juta muat turun aplikasi berkenaan tahun ini.

"MYTV Mana-Mana adalah platform OTT nasional yang menyediakan rangkaian saluran televisyen percuma daripada penyiar seperti RTM, Bernama TV, TVS, Suke TV dan TV Al-Hijrah serta banyak lagi.

"MYTV Mana-Mana juga akan menambah lebih banyak saluran televisyen serta kandungan 'on-demand' dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, melalui aplikasi MYTV Mana-Mana, penonton akan dapat mengakses pelbagai kandungan program tempatan dan luar negara dalam definisi tinggi HD pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 1:10 PM