Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa hampir dua jam membuat pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, bagi mencari bukti baharu pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Polis tiba di situ kira-kira 3 petang hari ini dan menumpukan siasatan di tingkat tiga serta tingkat empat di Blok R apartmen terbabit sebelum dilihat keluar sekitar 5 petang.

Difahamkan, lebih 40 rumah tidak berpenghuni di blok terbabit dan polis memeriksa tujuh daripada rumah terbabit, bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pasukan terbabit menemukan bukti baharu untuk kes itu.

Meskipun sudah memasuki hari ke-11, tumpuan siasatan dilihat masih terarah pada Blok R, iaitu lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, proses mengesan bukti masih giat dijalankan khususnya di kawasan blok kediaman mangsa.

Beliau dipetik berkata, setakat ini tiada perkembangan siasatan bagaimanapun usaha pencarian bukti di tempat kejadian diteruskan.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air, kira-kira 200 meter dari rumahnya, sekitar 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula 9 malam.

PASUKAN forensik PDRM membuat pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni di Blok R, Apartmen Idaman. FOTO NSTP
PASUKAN forensik PDRM membuat pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni di Blok R, Apartmen Idaman. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 5:34 PM