Pasukan Forensik menjalankan siasatan bagi mengesan bukti baru kes pembunuhan Zayn Rayyan. FOTO arkib NSTP
Pasukan Forensik menjalankan siasatan bagi mengesan bukti baru kes pembunuhan Zayn Rayyan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Pasukan polis hari ini meneruskan siasatan dengan mencari bukti baru di blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi bantu siasatan kes kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mati dibunuh.

Terdahulu seorang pegawai polis dilihat berbual dengan penduduk sebelum masuk ke Blok R apartmen terbabit dipercayai bagi meneruskan siasatan dan mencari bukti baru.

Sementara itu, polis dari Bukit Aman juga tiba sekitar jam 12.15 tengah hari ini dan menjalankan siasatan di sekitar lokasi penemuan Zayn.

Hari ini masuk hari ke-10 pencarian bahan bukti dan siasatan dijalankan bagi mencari pelaku yang membunuh Zayn.

Semalam dua saksi kanak-kanak melakukan lakonan semula di kawasan blok R bagi bantu siasatan.

Lakonan semula itu dijalankan berdasarkan dua saksi kanak-kanak yang juga rakan kepada mangsa masing-masing berusia enam dan sembilan tahun.

Lakonan semula itu dilaksanakan untuk mengesan sekiranya ada bukti-bukti baru yang bermula dari anak tangga blok R hingga menuju ke anak sungai, lokasi mangsa ditemui.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil 86 keterangan dan akan ada lagi keterangan yang diambil sekiranya perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 1:14 PM