GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan dilanda banjir gelombang kedua apabila seramai 55 mangsa daripada 12 keluarga di jajahan Kuala Krai berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS mula dibuka 9 pagi ini berikutan beberapa kampung di jajahan itu dinaiki air disebabkan hujan lebat sejak semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa yang terdiri daripada 32 dewasa, 22 kanak-kanak dan seorang bayi ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, paras air di beberapa sungai utama juga meningkat iaitu dua sungai melepasi paras amaran dan dua sungai berada di paras waspada.

Dua sungai yang melepasi paras amaran ialah Sungai Nal di Kuala Krai dengan bacaan 24.52 meter (m) berbanding paras normal 21m dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (15.89m).

Dua sungai berada di paras waspada ialah Sungai Pergau di Jeli (50.98m) dan Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok (7.17m).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 11:05 AM