SURAT Muhammad Darwisy buat Menteri Pendidikan. FOTO FB Fadhlina Sidek.
SURAT Muhammad Darwisy buat Menteri Pendidikan. FOTO FB Fadhlina Sidek.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Warkah seorang murid yang menghargai usaha kerajaan dalam memantap pendidikan negara, menyentuh hati Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dalam warkah itu yang diterima Fadhlina pada 6 Disember lalu, Muhammad Darwisy Aimi menzahirkan penghargaan terutama dalam aspek membenarkan pemakaian baju sukan ketika musim panas lalu.

Menggunakan kertas kajang untuk suratnya yang dikarang dengan pensil, Muhammad Darwisy bermula dengan mukadimahnya bertanyakan khabar Fadhlina.

Murid itu seterusnya memperkenalkan diri sebagai anak sulung daripada dua beradik, dan memaklumkan pernah bertemu Fadhlina dalam Majlis Aspresiasi Pendidikan 2022 anjuran sekolahnya.

Turut disisipkan dua keping gambar mereka bersama.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Yang Berhormat (YB) dalam bidang pendidikan, antaranya membenarkan kami memakai pakaian sukan kerana cuaca panas melampau.

"Ini memberikan keselesaan kepada kami untuk belajar di sekolah.

"Walaupun nampak kecil, tetapi perkara ini memberi impak besar kepada kami. Terima kasih daripada saya dan kawan-kawan," tulis Muhammad Darwisy.

Menjawab surat itu, Fadhlina yang berkongsi coretan berkenaan di Facebook rasminya petang tadi berkata, nukilan murid itu dianggap kata semangat untuknya terus berusaha sebaiknya dalam membangunkan sistem pendidikan negara, demi kesejahteraan dan masa depan anak-anak Malaysia.

"Ke hadapan Adik Darwisy, Alhamdulillah saya serta keluarga sihat sejahtera. Terima kasih kerana sudi menukilkan warkah istimewa kepada saya.

"Saya doakan keafiatan dan kejayaan untuk adik dan sentiasalah berbuat baik sesama insan. Semoga adik dan keluarga sihat walafiat dan sentiasa dalam lindungan-Nya," katanya.

Kata Fadhlina, beliau sungguh terharu apabila menerima surat istimewa berkenaan dan sentiasa menanti warkah daripada murid sekolah lain.

"Saya amat mengalu-alukan anak-anak untuk menghantar warkah kepada saya. Terima kasih atas sokongan ini dan saya tunggu kedatangan warkah anak-anak yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 7:24 PM