GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang pemerhati politik, yang disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran di Taman Midah, Cheras, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semua suspek yang berumur 30 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Cheras kira-kira 9 malam hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu disebabkan rasa tidak puas hati berkaitan satu hantaran yang dimuat naik di media sosial," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku semasa seorang lelaki sedang makan di restoran berkenaan bersama dua rakan lain pada kira-kira 4 pagi, apabila secara tiba-tiba, muncul enam lelaki yang terus membaling kerusi ke arah mereka, sebelum beredar.

Zam Halim berkata, kesemua suspek direman hingga esok, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:35 PM