Kerja meroboh premis perniagaan menjual santan dan cuci kereta di Bandar Serting selepas pemilik perniagaan enggan kosongkan tanah. foto ABNOR HAMIZAM
Kerja meroboh premis perniagaan menjual santan dan cuci kereta di Bandar Serting selepas pemilik perniagaan enggan kosongkan tanah. foto ABNOR HAMIZAM
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kedai menjual santan dan mencuci kereta yang dibina tanpa kebenaran selain beroperasi diatas tanah milik kerajaan sejak 12 tahun lalu dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Bandar Serting, hari ini.

Pegawai Daerah Jempol Nawal Mohamed Amin berkata, pihaknya sebelum itu menerima pelbagai aduan berkaitan binaan terbabit daripada orang awam.

Katanya, kedua-dua binaan itu turut mengganggu kerja-kerja naik taraf landskap Bandar Serting yang sedang dilaksanakan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL).

"Tindakan meroboh dijalankan selepas notis pengosongan yang dikeluarkan tidak diendahkan oleh pemilik perniagaan yang juga warga tempatan.

"Notis pengosongan yang terkini bukanlah notis yang pertama kerana pemilik perniagaan itu sudah beberapa kali diberikan notis pengosongan selain beberapa siri rundingan turut diadakan.

"Namun, pemilik perniagaan tetap ingkar dan enggan mengosongkan tanah berkenaan," katanya pada kenyataan.

Nawal berkata, selain dua kedai itu, binaan garaj kereta berhampiran turut dirobohkan kerana ia juga dibina tanpa kebenaran.

Katanya, operasi merobohkan semua binaan di kawasan seluas 408 meter persegi itu bermula jam 8.30 pagi dan diketuai Unit Penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDTJL) bersama 11 agensi membabitkan 140 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 12:42 PM