Penerima Anugerah Tuanku Canselor, Mohamed Aiedil (tengah) bersama ibu bapanya, Roni Patina (kiri) dan Sulaiman pada Istiadat Konvokesyen USAS ke-16 di Dewan Jubli Perak, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Penerima Anugerah Tuanku Canselor, Mohamed Aiedil (tengah) bersama ibu bapanya, Roni Patina (kiri) dan Sulaiman pada Istiadat Konvokesyen USAS ke-16 di Dewan Jubli Perak, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Kuala Kangsar: Susah payah seorang wanita penjual kuih bagi menampung kehidupan keluarga terbalas apabila anak sulungnya, Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Tuanku Canselor, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16, di sini, hari ini.

Roni Patina Sarani, 50, berkata kejayaan anaknya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan umpama hadiah paling bermakna buat dirinya.

Dia yang menjual kuih tradisional di sekitar pekan Kuala Kangsar sejak lebih 25 tahun lalu berkata, pencapaian anak lelakinya itu membuktikan kepentingan ilmu sehingga boleh mengubah kehidupan.

"Segala hasil titik peluh saya membantu suami (Sulaiman Mohd Mansor, 75) membesarkan anak-anak dengan menjual kuih akhirnya terbalas apabila Abang Long (Mohamed Aiedil) menerima anugerah ini, tak henti-henti ucapan tahniah kami terima.

"Pesanan saya buat golongan ibu yang meniaga kuih seperti saya atau apa saja pekerjaan yang dilakukan, jangan pernah abaikan pendidikan buat anak-anak kerana dengan ilmu kita dapat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen USAS ke-16, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Mohamed Aiedil berkata beliau tidak menyangka terpilih menerima anugerah berkenaan kerana merasakan lebih ramai yang hebat berbandingnya.

Berkongsi kisahnya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia pernah makan mi segera selama empat bulan sehingga meminta izin kedua-dua ibu bapanya untuk berhenti belajar semasa diploma kerana tidak mahu lagi membebankan orang tuanya.

"Saya cuma fikir mahu bekerja dan membantu ibu-bapanya menyara tiga lagi adik perempuan saya yang masih belajar.

"Namun, ibu bapa nasihatkan supaya saya teruskan belajar kerana hanya ilmu satu-satunya harta berharap yang boleh mereka wariskan.

"Mereka tegaskan bahawa tak perlu risau, itu memang tanggungjawab mereka supaya saya berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:39 PM