PASTIKAN pakai pelitup muka jika selesema atau batuk. - FOTO Pexels
PASTIKAN pakai pelitup muka jika selesema atau batuk. - FOTO Pexels
Hafiz Ithnin


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tuberkulosis (Tibi) adalah penyakit berjangkit paling kerap menyerang paru-paru yang berpunca daripada sejenis bakteria.

Tibi boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti penyakit itu batuk, bersin atau meludah, tetapi ia boleh diubati.

Di Malaysia, penyakit Tibi kekal sebagai antara masalah utama dalam bidang kesihatan awam dengan peningkatan yang membimbangkan sebanyak 17 peratus kes pada 2022 berbanding 2021 dan peningkatan 12 peratus kes kematian berkaitan penyakit Tibi pada 2022 berbanding 2021.

Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Rosmadi Ismail menjelaskan, Malaysia menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan pengesanan penyakit Tibi yang cepat dan tepat.

"Antaranya ujian mikroskopik smear, kultur dan kepekaan serta ujian amplifikasi asid nukleik (NAAT) bagi memudahkan pengecaman kes penyakit Tibi.

"Malah pemeriksaan radiografi (sinar-x) dada dan ujian klinikal seperti Ujian Kulit Tuberkulin (TST) antara yang penting dalam mengesahkan jangkitan.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa teknik inovatif yang kini sedang diuji secara klinikal di seluruh dunia termasuk teknologi biopenderiaan dan nano diagnostik yang menjanjikan keputusan lebih cepat dan tepat," katanya.

Katanya, penyelidikan berterusan yang memberi tumpuan kepada kaedah inovatif seperti pengesanan bantuan komputer (CAD) melalui kecerdasan buatan (AI), teknologi penangkapan secara aerosol dan ujian kulit berasaskan antigen, semuanya bakal merevolusikan diagnosis penyakit Tibi, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pada masa depan.

"Rawatan untuk penyakit Tibi di Malaysia dilakukan mengikut garis panduan WHO yang mencerminkan standard rawatan global. Rawatan standard untuk penyakit Tibi rentan ubat (drug-susceptible) di Malaysia membabitkan gabungan empat jenis ubat ethambutol, rifampicin, isoniazid, dan pyrazinamide, yang diberikan kepada pesakit untuk tempoh enam hingga lapan bulan.

"Salah satu komponen penting rawatan penyakit Tibi adalah strategi rawatan pemerhatian langsung atau Directly Observed Treatment (DOT) apabila pesakit berada di bawah pengawasan pekerja penjagaan kesihatan untuk memastikan pengambilan ubat yang lengkap," katanya.

Dr Rosmadi juga menegaskan walaupun tiada ubat atau rawatan baharu yang berjaya membuahkan hasillebih baik dalam merawat penyakit Tibi, ia adalah penting untuk mengetahui bahawa rawatan kami untuk kes penyakit Tibi rentan ubat (drug-susceptible) membabitkan rejimen ubat yang berbeza dan tempoh rawatan lanjutan.

"Pendekatan yang disesuaikan ini terbukti berkesan walaupun dalam kes penyakit Tibi rentan ubat, mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap penjagaan pesakit yang menyeluruh," katanya.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menerbitkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk menguruskan penyakit Tibi. Ia menyediakan cadangan untuk mendiagnosis, merawat dan mencegah kes penyakit Tibi.

Garis panduan ini juga memberikan maklumat bermanfaat kepada kakitangan perubatan tentang semua aspek pengurusan kes penyakit Tibi.

Bagi memantapkan lagi usaha pencegahan, penyelidikan mengenai vaksin baharu, terutamanya untuk remaja dan orang dewasa juga masih berjalan

"Perjuangan menentang penyakit Tibi di Malaysia memerlukan pendekatan secara menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek.

"Dengan memberi tumpuan kepada kaedah diagnostik lanjutan, mematuhi pelan rawatan yang ditetapkan dan mematuhi langkah-langkah pencegahan, kita mungkin dapat membendung penularan penyakit Tibi dengan ketara.

"Kesedaran masyarakat dan kerjasama dengan badan penyelidikan antarabangsa juga akan meningkatkan peluang kita dalam memerangi penyakit ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:47 AM