Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan sempena Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. - FOTO NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan sempena Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. - FOTO NSTP
Hazwan Faisal Mohamad dan Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menggariskan pelaksanaan pembaharuan untuk menjadikan Malaysia tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan 'ease of doing business'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa, Malaysia terbuka dan bersedia menerima kehadiran pelabur dan perniagaan.

"Alhamdulillah, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng, Geely dan Samsung Engineering.

"Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Tumpuan akan diberikan bagi memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah MIDA dengan tumpuan untuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan dengan memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif.

"Mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.

"Antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah.

"Sebagai permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau.

"Pada masa sama, pelaburan langsung domestik (DDI) turut ditetapkan sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pencapaian pelaburan negara," katanya.

Tambah Anwar, kita perlu mengantarabangsakan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

"Kerajaan akan menumpukan usaha yang menyokong hasrat ini antaranya termasuklah melahirkan lebih banyak syarikat berjaya seperti Aerodyne dan Les Copaque melalui galakan kepada syarikat pemula dan PKS Bumiputera menceburi bidang pertumbuhan baharu.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu terus memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti elektrikal dan elektronik (E&E), ekonomi digital dan aeroangkasa.

"Kerajaan juga akan meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Matrade dengan peruntukan tambahan RM20 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:03 PM