Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Kerajaan negeri sedang memperhalusi kerjasama dengan pelabur dari Korea Selatan khususnya dalam sektor berkaitan unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa perbincangan secara serius serta positif berhubung perkara berkenaan dilaksanakan bersama pelabur dari negara berkenaan.

"Saya akan ke Korea Selatan dalam masa terdekat untuk tengok keadaan di sana serta buat keputusan akhir berhubung perkara itu.

"Insya-Allah semoga segalanya berjalan lancar untuk mencari peluang pendapatan baharu kepada negeri," katanya pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Ahmad Samsuri berkata, sektor REE berpotensi dibawa masuk ke negeri ini termasuk beberapa industri pelaburan lain seperti pembuatan serta industri berat.

Beliau berkata, mengikut kajian, REE terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan yang berpotensi ialah 581,735 hektar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan pada 5 Oktober tahun lalu.

AHMAD Samsuri menyampaikan replika pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
AHMAD Samsuri menyampaikan replika pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:21 PM