Runtuhan cerun setinggi 30 meter cemaskan penduduk pangsapuri Taman Cheras Mas. FOTO Ihsan JBPM Selangor.
Runtuhan cerun setinggi 30 meter cemaskan penduduk pangsapuri Taman Cheras Mas. FOTO Ihsan JBPM Selangor.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Cheras: Penduduk pangsapuri Taman Cheras Mas, di sini gempar apabila cerun berjarak kira-kira 40 meter (m) dari kediaman mereka runtuh, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pasukan daripada Balai Bomba Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 4.35 petang.

"Pasukan bomba tiba pada 4.42 petang mendapati berlaku gelinciran tanah cerun berhampiran Pangsapuri Taman Cheras Mas berketinggian 30 meter.

"Pihak Bomba hadir melakukan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada berlaku risiko bahaya kepada orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Katanya, pasukan bomba memasang sawar-sawar di sekitar runtuhan dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 7:49 PM