Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sepuluh kenderaan rosak teruk akibat dihempap runtuhan konkrit di blok A, bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, jam 9.59 malam.

"Insiden membabitkan bangunan empat tingkat apabila konkrit yang menyokong bumbung runtuh dari tingkat empat ke bawah bangunan.

"Runtuhan berkenaan mengenai 10 kenderaan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, runtuhan struktur sepanjang 48.7 meter berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Katanya, anggota bomba menjalankan kerja-kerja pengungsian bangunan di seluruh premis dan memasang sawar-sawar di sekitar kawasan yang berlaku runtuhan.

"Pihak bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kerana dikhuatiri akan berlaku lagi runtuhan.

"Pihak bomba juga masih dalam keadaan bersedia di lokasi sehingga pihak daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya mengesahkan perihal keselamatan bangunan," katanya.

KEADAAN di  lokasi kejadian. FOTO Ihsan PGO Kuala Lumpur
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PGO Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:41 AM