Jalan ke Kampung Mawang Taup, Serian putus petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Jalan ke Kampung Mawang Taup, Serian putus petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Serian: Kira-kira 500 penduduk daripada 135 keluarga di Kampung Mawang Taup, Tebedu di sini, terputus hubungan apabila jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan Serian, runtuh petang tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang tadi dipercayai akibat hakisan selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.16 petang tadi.

Beliau berkata, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diarah meninjau lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Serian itu.

"Setibanya di lokasi, dapati benar berlaku tanah runtuh mengakibatkan jalan utama yang menghubungi Kampung Mawang Taup terputus.

"Anggota bomba membuat pemantauan dan memberi khidmat nasihat kepada penduduk supaya berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, anggota bomba turut memasang sawar-sawar sebagai amaran kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika menghampiri kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 8:21 PM