Warga emas berusia 64 tahun itu tinggal seorang diri. FOTO Ihsan JBPM
Warga emas berusia 64 tahun itu tinggal seorang diri. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Cheras: Warga emas disangkakan tertidur di hadapan rumah disahkan meninggal dunia di kediamannya di Jalan Intan, Taman Cheras Permata di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, mangsa yang berusia 64 tahun dipercayai tinggal seorang diri.

Menurutnya, jirannya yang beranggapan mangsa tertidur di hadapan rumah cuba memanggil warga emas itu namun tiada respon lalu membuat panggilan 999 pada jam 6.26 petang.

"Sebuah jentera bersama anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Husin Onn tiba di lokasi pada 6.41 petang mendapati pintu pagar rumah teres setingkat itu berkunci.

"Terdapat seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di hadapan rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Morni berkata, pasukan penyelamat bertindak membuka kunci pada pagar rumah terbabit menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

"Pemerhatian awal mendapati tiada kesan luka pada mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:41 PM