GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas wartawan kanan hiburan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia tidak menyangka perbalahan antara penyanyi, Siti Nordiana Alias dan lima sekawan berpanjangan sehingga membawa kes ke mahkamah.

Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dalam pemeriksaan balas oleh peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili defendan keempat, Sam Musyadzafar Samin berkata, dia mengetahui kes membabitkan plaintif (Siti Nordiana) dan lima sekawan itu menerusi laporan akhbar.

Fithril Hakim: Datuk mengetahui perkara itu selepas membaca mengenai kes saman Nana terhadap semua defendan.

Tengku Khalidah: Saya baca dalam berita, tidak sangka pula kes ini berpanjangan hingga ke mahkamah.

Fithril Hakim: Datuk pernah ke tonton video itu?

Tengku Khalidah: Saya ada tengok.

Fithril Hakim: Tengok di mana?

Tengku Khalidah: Menerusi Youtube 'Manusia Lemah'.

Fithril Hakim: Ingat ke bila datuk tengok video itu?

Tengku Khalidah: Seingat saya pada sekitar 2021, rasanya semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

Siti Nordiana, 39, atau Nana selaku plaintif menfailkan saman terhadap lima defendan yang memburukkannya ketika sesi Instagram (IG) Live menerusi akaun media sosial masing-masing dengan menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Tengku Khalidah, 47, yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Penjenamaan dan Editorial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, apa yang terjadi antara plaintif dan lima defendan sehingga membawa kes ke mahkamah bakal menjadi rujukan kepada industri hiburan di masa depan.

Dalam sesi pemeriksaan semula oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin mewakili Nana yang bertanya kenapa dia sukarela memberi keterangan di mahkamah hari ini, saksi itu berkata, perbuatan berkenaan perlu dielakkan demi industri hiburan tanah air kerana ia bakal menjadi rujukan di masa depan.

"Saya lihat apa yang terjadi antara plaintif dan defendan bakal jadi rujukan industri di masa depan, jika kita ada masalah dalam industri kita tak boleh suka hati buat sesi secara langsung memburuk-burukkan orang lain.

"Saya rasa perkara ini perlu dielakkan, jika tak berpuas hati antara rakan dalam industri tak perlulah sampai memperbesarkan dengan membuat siaran langsung, sebab itu saya muncul beri penjelasan dan kesaksian," katanya.

Dalam pernyataan saksinya, Tengku Khalidah berkata, penyanyi itu seorang yang mudah berurusan dengan wartawan hiburan dan hampir tidak terbabit dengan isu kontroversi yang boleh mengancam kewujudannya sebagai penyanyi baharu.

"Sepanjang bertugas sebagai wartawan hiburan dari 2010 hingga 2020, hampir tidak ada wartawan hiburan yang merungut, mengadu atau menyatakan rasa tidak puas hati sepanjang menyelesaikan tugasan dengan plaintif," katanya.

Siti Nordiana dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing, menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Plaintif menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan bersambung Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 6:05 PM