SITI Nordiana. FOTO arkib NSTP
SITI Nordiana. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya sedia berbincang dan selesaikan kes ini secara baik asalkan semua pihak mencapai kesepakatan," kata penyanyi Siti Nordiana, 37, mengenai kes saman fitnah terhadap lima rakannya.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, dia menganggap saranan yang diberikan mahkamah untuk kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah adalah satu tindakan baik.

"Sejujurnya saya tiada masalah jika kes ini mahu diselesaikan secara baik. Lagipun saya tak mahu kes ini berlanjutan terlalu lama kerana saya percaya proses prosiding ini akan mengambil masa yang panjang.

"Bagaimanapun, jika pihak mereka tidak bersetuju, saya juga sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes ini di mahkamah. Pendirian saya cukup jelas kerana saya ingin membersihkan nama yang tercalar, tapi saya tiada masalah jika kes ini mahu dibawa berbincang di luar mahkamah," katanya.

Menurut Siti Nordiana, dia juga ingin mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak berasas kerana bimbang akan mengganggu prosiding perbicaraan.

"Ini bagi memastikan agar tidak mengganggu prosiding perbicaraan penuh yang akan dijalankan sekiranya penyelesaian gagal dicapai," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, tuntutan saman RM2.5 juta penyanyi Siti Nordiana terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram mungkin diselesaikan secara baik tanpa menerusi perbicaraan.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Hakim Zulqarnain Hassan oleh peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berbalah sebelum perbicaraan didengar hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan menetapkan 20 Oktober ini memaklumkan perkembangan kes.

Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:33 PM