Siti Nordiana
Siti Nordiana
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang peminat yang juga pengguna laman sosial Instagram (IG) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, siaran langsung IG (IG Live) oleh lima sekawan pada Julai 2021 hanya berkisar mengenai kelakuan buruk penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias.

Nur Afifah Balqis Mohd Zulqarnaen, 20, berkata selain memburukkan Siti Nordiana, lima individu itu juga turut memburukkan pengurus penyanyi berkenaan iaitu Mohammad Al Anas Osman, 39 dalam siaran lebih sejam itu.

"Kandungan perbualan di IG Live (siaran langsung Instagram) sepanjang tempoh itu berkisar mengenai kelakuan buruk dua individu yang saya percaya plaintif (Siti Nordiana) dan pengurusnya (Mohammad Al anas).

"Ini kerana kedua-dua nama itu berulang kali diulang sebut selain disertakan perangai atau watak buruk yang mereka lakukan," kata saksi ketiga plaintif itu.

Katanya, selepas mendengar perbualan IG Live kelima-lima individu itu, saksi itu bertindak meninggalkan komen 'huh' atas nama akaun Instagramnya.

Mengulas lanjut dalam pernyataan saksinya itu dia terdorong mengikuti siaran langsung itu kerana meminati dunia hiburan tanah air.

"Saya menunggu dan mendengar siaran langsung (IG Live) itu atas dasar minat dan keinginan untuk tahu perkembangan artis tanah air," kata saksi itu lagi.

Sementara itu dalam pernyataan tambahannya, selepas menonton IG Live itu, dia berasa marah dan geram terhadap kelima-lima defendan dan seterusnya bertindak memuat naik IG Live itu dalam cakera padat (CD).

Dalam prosiding hari ini peguam Abang Azlan Abang Ariffin mewakili Siti Nordiana.

Peguam Azlan Abdul Razak pula mewakili Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38; isterinya Nur Sheila Hassim, 38, Zuraidah Badron, 37, atau Syura selaku defendan pertama hingga ketiga.

Sementara peguam Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan peguam Nur Izzaida Zaman mewakili jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 43 sebagai defendan keempat dan kelima.

Sebelum ini, pada prosiding lalu, Mohammad Anas memaklumkan akibat siaran langsung Instagram yang dibuat lima individu yang memburukkan Siti Nordiana menyebabkan kontrak bagi tiga iklan komersial selebriti itu dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.

Saksi itu turut mengatakan dia juga banyak menerima mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan bersambung 24 November ini.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, isterinya Nur Sheila, Syura, Sam Musyadzafar dan Razidah masing-masing sebagai sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Justeru beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:52 PM