Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu siaran langsung Instagram memburukkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias menyebabkan artis itu dikecam orang ramai dan kontrak iklan dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.

Saksi kedua yang juga pengurus kepada Siti Nordiana selaku plaintif, Mohammad Al Anas Osman, 39, berkata, antara kontrak iklan komersial dibatalkan serta dua lagi tidak disambung sebagai duta produk.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili defendan pertama, kedua dan ketiga, Mohammad Al Anas mengakui surat pembatalan kontrak diterima selepas Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman terhadap lima defendan itu.

"Surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas ikatan dokumen diserahkan pada hari saman," katanya.

Dalam pernyataan saksi, Mohammad Al Anas berkata, ejen pencari bakat ada bertanyakan situasi Siti Nordiana terhadap siaran langsung Instagram selepas nama selebriti itu diburukkan oleh lima defendan berkenaan.

"Kesan paling utama nama baik plaintif dalam kalangan masyarakat terjejas teruk kerana siaran langsung Instagram melalui rakaman YouTube mencecah ratusan ribu penonton sehingga ke hari ini.

"Kesan buruk jangka panjang pula membabitkan kontrak komersial yang sedang berkuatkuasa kerana pengusaha komersial ini secara umumnya meletakkan syarat am bahawa personaliti tajaan mereka hendaklah seorang yang tidak mempunyai isu kontroversi dan sentiasa berkelakuan baik," katanya.

Saksi itu yang menjadi pengurus kepada plaintif sejak 2010 berkata, dia menerima banyak mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu.

"Semua mesej yang diterima itu ialah pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook.

"Mesej daripada peminat plaintif (Siti Nordiana) terlalu banyak. Tetapi intipati mesej itu merujuk kepada siaran Instagram Live yang memburuk nama plaintif secara siaran langsung," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan bersambung 30 Oktober ini.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 4:04 PM