SITI Nordiana. FOTO Arkib NSTP
SITI Nordiana. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu penyanyi Siti Nordiana Alias tidak dapat memberi keterangan berhubung kes saman terhadap lima sekawan berikutan 'hilang suara'.

Penyanyi itu selaku saksi terakhir plaintif sepatutnya memberi keterangan di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan, namun ditangguhkan selepas dimaklumkan penyanyi dikenali sebagai Nana itu tidak dapat bertutur.

Terdahulu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Nana berkata, anak guamnya mengalami kesukaran untuk bercakap dan mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan, hari ini dan akan kembali memberi keterangan, esok.

"Siti Nordiana yang juga saksi terakhir pihak plaintif sepatutnya beri keterangan hari ini, namun mahkamah membenarkan penangguhan sehingga esok," katanya yang hadir bersama-sama peguam Ahmad Syaiful Bakri Mohamed.

Siti Nordiana, 39, selaku plaintif menyaman lima defendan dan menuntut RM2.5 juta atas dakwaan memfitnah ketika siaran langsung (Live) dalam Instagram pada Julai 2021.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi defendan ialah Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Dalam prosiding itu, ejen penjenamaan selebriti yang pernah berkolaborasi dengan Siti Nordiana dalam beberapa projek mengakui penyanyi berkenaan dikategorikan sebagai selebriti kelas 'A' dan terbabit dalam tiga projek komersial sebagai duta yang dikendalikan oleh syarikatnya.

Pengarah G Talent Management Sdn Bhd, A Geetharani, 39, berkata beliau pernah berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dengan pengurus Nana, Mohammad Al Anas Osman berhubung Live Instagram yang mengaitkan nama artis berkenaan.

Katanya, selaku selebriti kelas 'A' yang berkolaborasi dengan beberapa jenama yang menajanya, beliau mengambil berat untuk menjaga reputasi syarikat miliknya dan jenama membabitkan pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Saya tidak mahu sebarang berita buruk atau reputasi selebriti yang kami bekerjasama memberi kesan kepada syarikat dan pihak lain.

"Sebarang berita buruk akan menjejaskan peluang selebriti itu untuk memperbaharui kontrak atau mendapat kontrak lain," katanya dalam pernyataan saksi.

Sebelum ini, saksi kedua plaintif Mohammad Al Anas memberitahu mahkamah sama, penyanyi dan pelakon itu kehilangan kontrak pengiklanan sebagai duta tiga syarikat komersial berikutan siaran langsung dalam laman Instagram yang memburukkan namanya.

Mohammad Al Anas berkata, kontrak dengan sebuah syarikat komestik dibatalkan, manakala kontrak bersama dua lagi syarikat luar negara tidak disambung.

Katanya, surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas pihaknya menyerahkan ikatan dokumen pada hari yang sama saman difailkan terhadap lima defendan.

"Terma-terma dalam kontrak menghendaki personaliti sentiasa berkelakuan baik. Sebarang perlanggaran akan memberi kesan buruk jangka panjang. Syarat am kontrak meletakkan personaliti tajaan mereka tidak mempunyai isu kontroversi," katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan sudah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 3:36 PM