KELIBAT dua ekor rusa yang sempat dirakam oleh guru ketika memantau kawasan padang yang mula dilimpahi air dari Sungai Bernam ke kawasan lombong terbiar sebelum memenuhi padang terbabit di SK Sri Keledang. FOTO Ihsan pembaca
KELIBAT dua ekor rusa yang sempat dirakam oleh guru ketika memantau kawasan padang yang mula dilimpahi air dari Sungai Bernam ke kawasan lombong terbiar sebelum memenuhi padang terbabit di SK Sri Keledang. FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

Hulu Bernam: Dua ekor rusa berkeliaran di padang Sekolah Kebangsaan Seri Keledang dipercayai mencari tempat perlindungan selepas kawasan berhampiran Sungai Bernam dilimpahi air akibat hujan sejak petang semalam sehingga pagi tadi.

Kehadiran rusa berkenaan disedari dua orang guru yang kebetulan sedang memantau keadaan padang sekolah susulan limpahan air sungai.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang Ahmad Shauhada Zakaria, berkata, beliau dimaklumkan oleh guru terbabit terdapat kelibat rusa liar berkeliaran di padang sekolah.

Katanya, padang berkenaan memang bersebelahan dengan kawasan tanaman kelapa sawit dan belukar di sekitar kawasan bekas tapak lombong.

"Limpahan air sungai berkenaan akan masuk ke tapak bekas lombong kemudian melimpah ke kawasan persekitaran termasuk padang sekolah yang kerap dilanda banjir kilat semasa musim tengkujuh.

"Rusa terbabit mungkin sedang mencari tempat perlindungan selepas kawasan berhampiran sungai mula dipenuhi air selepas hujan lebat," katanya.

Ahmad Shauhada berkata, sejak sekolah berkenaan dibuka inilah kali pertama guru sekolah terbabit terserempak dengan rusa liar di padang sekolah berkenaan.

Difahamkan, penduduk yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di sekitar kawasan itu juga pernah terserempak dengan sekumpulan rusa liar di kawasan ladang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 4:32 PM