DR G Madhya Zhagan (dua kanan) bersama Guru Besar SK Sri Keledang, Ahmad Shauhada Zakaria (tiga kiri) GPK SJKT Ladang Lima Blas, J.Sivarajan (dua kiri) dan GPK HEM SJKT Ladang Kelapa Bali, M.Kalaiarasi semasa Majlis Penyerahan Komputer di SK Sri Keledang,Slim River. FOTO Ihsan pembaca
DR G Madhya Zhagan (dua kanan) bersama Guru Besar SK Sri Keledang, Ahmad Shauhada Zakaria (tiga kiri) GPK SJKT Ladang Lima Blas, J.Sivarajan (dua kiri) dan GPK HEM SJKT Ladang Kelapa Bali, M.Kalaiarasi semasa Majlis Penyerahan Komputer di SK Sri Keledang,Slim River. FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

Slim River: Menyedari kepentingan komputer dalam pendidikan era baru terutama di sekolah luar bandar, seorang pensyarah memberi sumbangan peribadi empat komputer kepada tiga sekolah rendah, dekat sini.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr G Madhya Zhagan menyumbangkan empat komputer itu untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lima Blas dan SJKT Ladang Kelapa Bali.

Madhya Zhagan berkata, penggunaan komputer amat penting dalam dunia pendidikan masa kini terutama melaksanakan e-Pembelajaran kepada murid di sekolah.

"Perkembangan dalam teknologi maklumat memberi peluang kepada murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih efektif dan berimpak tinggi.

"Murid sekolah di luar bandar mesti diberi pendedahan mengenai teknologi maklumat supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pendidikan berteknologi moden masa kini," katanya selepas menyampaikan komputer di SK Sri Keledang, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Sri Keledang, Ahmad Shauhada Zakaria, Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran SJKT Ladang Lima Blas, J Sivarajan dan GPK Hal Ehwal Murid SJKT Ladang Kelapa Bali, M Kalaiarasi.

Beliau berkata, penggunaan teknologi maklumat dan komputer dalam Pembelajaran dan PemudahCara (PdPC) adalah platform baru memperkasa era Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KEBAT) dalam kalangan murid sekolah.

Beliau berkata, kemajuan teknologi komputer yang pesat dan penggunaan peranti dan perisian terkini membolehkan murid dapat menguasai dan melestari pencapaian akademik serta digital secara konsisten.

Sementara itu, Ahmad Shauhada berkata, beliau sentiasa mengalukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang bertujuan meningkatkan tahap pendidikan murid di sekolah.

Katanya, sumbangan itu sudah tentu bakal memberi manfaat dan impak kepada murid di sekolah berkenaan terutama dalam melaksanakan e-Pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:49 PM