ASAP menjulang ke udara dan bangunan rosak akibat serangan dilakukan Israel di Palestin . FOTO AFP
ASAP menjulang ke udara dan bangunan rosak akibat serangan dilakukan Israel di Palestin . FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gaza tidak boleh diselamatkan hanya dengan kata-kata dan retorik, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata tindakan perlu diambil memandangkan Israel sudah melakukan pelanggaran terhadap semua undang-undang antarabangsa.

"Sehingga hari ke-43 kebiadaban Israel, dunia masih tidak berdaya untuk menghentikan kekejaman Israel.

"Israel sudah melakukan jenayah perang yang paling serius dengan banyak bukti dan saksi. Jenayah perang Israel di Gaza adalah suatu yang dirancang, bukan respon reaktif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Israel melanggar 28 resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengikat secara sah ke atas Piagam PBB, Artikel 25 (1945); beberapa contoh resolusi - 54, 111, 233, 234, 236, 248, 250, 252, 256, 262, 267, 270, 280, 285, 298, 313, 316, 468, 476 dan sebagainya.

Beliau berkata operasi ketenteraan Israel bukan lagi mengenai hak mempertahankan diri, sebaliknya ia adalah pembunuhan beramai-ramai secara terang-terangan.

"Kami menyeru campur tangan tentera PBB dengan segera, tiada rundingan boleh dilakukan lagi sekarang. Peperangan mesti dihentikan sekarang," katanya dan menambah Mapim menuntut PBB mengumumkan penempatan tentera pengaman untuk melindungi orang awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar tanpa sekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 7:34 PM