PENDUDUK berkumpul di hadapan bangunan yang terbakar selepas serangan udara di Khan Yunis. FOTO AFP
PENDUDUK berkumpul di hadapan bangunan yang terbakar selepas serangan udara di Khan Yunis. FOTO AFP
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa menggunakan pengaruhnya bagi menghentikan perang di Gaza dan membebaskan Palestin dari cengkaman Israel.

Desakan itu dibuat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ekoran tindakan Amerika Syarikat (AS) semalam menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi ditaja bersama hampir 100 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, menempelak tindakan AS yang dilihat menghantar mesej bahawa Israel boleh meneruskan operasi pembunuhan yang tidak terbatas di bumi anbiya itu.

Dalam masa sama, beliau menuntut komuniti dunia supaya sepakat membantah hipokrasi AS yang memperlihatkan negara itu pilih bulu dalam soal penindasan di Palestin.

"Sikap double standard AS dan hipokrasi mahu perang dan genosid berterusan di Gaza adalah pendirian yang jelas negara itu menyokong keganasan Israel.

"AS yang dijangka tidak menyokong gencatan senjata kemanusiaan yang kekal di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mencerminkan double standard AS apabila menyentuh mengenai perlindungan kepada Israel.

"Bandingkan dengan kedudukan AS mengenai menuntut gencatan senjata untuk situasi kemanusiaan dalam perang Rusia dan Ukraine, senario yang sama di Gaza tidak digunakan oleh AS.

"AS memaparkan hipokrasi peringkat tertinggi apabila ia hanya , sepanjang masa, menurut kata-kata Israel mengenai hak mempertahankan diri, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi melabel AS sebagai penyokong agresif Israel kerana secara terang-terangan melanggar setiap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melakukan serangan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Tegasnya, AS dilihat bersekongkol dengan keganasan barbarik Israel dengan bukan saja AS memberi lampu hijau kepada Israel melakukan pembunuhan di Gaza , bahkan serangan brutal yang berterusan dan keganasan oleh penduduk haram Yahudi di Tebing Barat.

"Malah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata bahawa Majlis Keselamatan PBB mesti menghentikan pembantaian yang sedang berlangsung di Gaza.

"PBB mesti berusaha secara agresif untuk mencapai keputusan penting segera menghentikan kegilaan kempen tentera Israel yang meneruskan tindakan barbariknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 9:31 PM