SEBAHAGIAN ahli NGO yang mengadakan Perhimpunan Malaysia Bangkit Tolak Veto Amerika di PBB di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak, hari ini. FOTO Aswadi Alias
SEBAHAGIAN ahli NGO yang mengadakan Perhimpunan Malaysia Bangkit Tolak Veto Amerika di PBB di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak, hari ini. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hujan lebat tidak menghalang orang ramai berhimpun melakukan demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara, hari ini, susulan negara kuasa besar itu baru-baru ini menggunakan kuasa vetonya membantah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan gencatan senjata khususnya di Gaza, Palestin.

Laungan takbir berkumandang ketika orang ramai mula berarak dari Surau Tabung Haji selepas menunaikan solat Jumaat menuju ke Kedutaan AS.

Perarakan dianjurkan Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) iaitu gabungan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang bergabung menyatakan bantahan, penolakan dan penentangan terhadap tindakan AS menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata segera di Palestin.

Satu daripada NGO itu, Sejagat, yang diwakili Setiausahanya Syed Sheikh Syed Mustafa berkata sudah jelas dunia mahukan satu genjatan senjata iaitu kata putus daripada PBB untuk menghentikan serangan Israel yang tidak berperikemanusiaan dengan mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin tidak berdosa.

"Sudah jelas depan mata kita semua tahu sehingga kini lebih 19,000 nyawa terkorban akibat pengeboman Israel di bumi Gaza dan di Tebing Barat. Kekejaman zionis Israel perlu dihentikan segera.

"Kita meminta kepada seluruh negara Islam, negara Arab dan negara-negara di dunia yang membela Palestin untuk bertindak lebih keras terhadap Israel dan AS dengan menekan mereka supaya mengadakan gencatan senjata di Gaza," katanya.

Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang berkata apa yang berlaku hari ini seolah-olah menunjukkan segala perbadanan dunia antarabangsa seperti sudah tidak berguna lagi.

"Jika PBB tidak lagi dihormati oleh AS, maka bubarkanlah dan sekali gus Majlis Keselamatan PBB, atau sekurang-kurangnya seperti kandungan memorandum yang sudah kami hantar kepada PBB supaya Israel dipecat menganggotai badan dunia itu.

"Ini kerana Israel memang tidak mematuhi keputusan PBB, bagi zionis tiada undang-undang

sekarang AS pula yang mengetuai untuk menolak keputusan PBB dengan kuasa veto," katanya.

Minggu lalu, AS menggunakan kuasa vetonya membantah resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

AS satu-satunya negara yang mengundi untuk menentang resolusi itu yang turut menyaksikan Rusia dan United Kingdom mengambil pendirian untuk berkecuali.

Sebanyak 12 negara lain iaitu China, Perancis, Jepun, Switzerland, Emeriah Arab Bersatu, Albabia, Brazil, Ecuador, Gabon, Ghana, Malta dan Mozambique menyokong.

Undian berkenaan dilakukan selepas Setiausaha Agung PBB, António Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB sesuatu yang tidak pernah beliau lakukan berikutan keadaan Gaza yang amat genting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 4:52 PM