SESI undian di Majlis Keselamatan PBB berhubung resolusi gencatan senjata segera di Gaza. FOTO Reuters
SESI undian di Majlis Keselamatan PBB berhubung resolusi gencatan senjata segera di Gaza. FOTO Reuters
AFP

New York: Selepas lima bulan perang di Gaza, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Isnin, membuat resolusi menggesa gencatan senjata segera di wilayah itu.

Resolusi itu diluluskan oleh majlis itu walaupun sekutu Israel iaitu Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan untuk berkecuali ketika undian.

Berikut adalah beberapa reaksi terhadap resolusi untuk menghentikan pertempuran pada bulan suci Ramadan dengan matlamat untuk gencatan senjata "berkekalan":

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa pelaksanaan segera gencatan senjata selepas Israel menyuarakan kemarahan terhadap resolusi itu.

Hamas pula mengalu-alukan resolusi untuk menghentikan pertempuran di Gaza sambil berkata, ia bersedia untuk merundingkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, undian di PBB itu "menyakitkan kedua-dua usahanya iaitu perang dan usaha untuk membebaskan mangsa culik".

"Ia memberi harapan kepada Hamas bahawa tekanan antarabangsa akan membolehkan mereka menerima gencatan senjata tanpa pembebasan mangsa culik kami," kata kenyataan itu.

Hussein al-Sheikh, Menteri Hal Ehwal Awam Pihak Berkuasa Palestin yang mempunyai separa kawalan pentadbiran di Tebing Barat yang diduduki Israel, memuji resolusi itu dalam catatan di X dengan menyeru jenayah perang dihentikan secara kekal dan pengunduran segera Israel dari Semenanjung Gaza.

Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, keputusan itu "terlambat".

"Pengajaran sekarang ialah melaksanakan keputusan di lapangan, menghentikan operasi ketenteraan dan pencerobohan Israel serta-merta dan sepenuhnya," tambahnya.

Pegawai tertinggi Kesatuan Eropah mengalu-alukan resolusi itu dan menggesa gencatan senjata dan pembebasan tanpa syarat semua tebusan.

"Pelaksanaan resolusi ini adalah penting untuk melindungi semua orang awam," kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada X.

Resolusi itu "mewakili langkah penting dan amat diperlukan untuk menghentikan pertumpahan darah," kata kementerian hal ehwal luar Mesir dalam satu kenyataan kepada PBB.

Wakil Perancis di PBB, Nicolas de Riviere pula menggesa gencatan senjata antara Israel dan Hamas berterusan selepas bulan Ramadan yang sedang berlangsung.

"Krisis ini belum berakhir. Selepas Ramadan, yang berakhir dalam dua minggu, ia perlu mewujudkan gencatan senjata kekal," katanya.

Menteri Luar Iraq memuji resolusi itu dalam satu kenyataan dan menekankan "kepentingan bagi pihak-pihak untuk menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa".

Kementerian luar Jordan menyatakan harapan bahawa PBB dan masyarakat antarabangsa akan "mengambil tindakan untuk melindungi penyelesaian dua negara dan memastikan penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan berautonomi".

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati memuji "peringkat pertama dalam proses menamatkan pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza."

Beliau juga menggesa penyelesaian politik "untuk menamatkan konflik dan memberi hak kepada rakyat Palestin".

Qatar pula berkata, ia berharap resolusi itu "mewakili satu langkah ke arah pemberhentian kekal pertempuran di Semenanjung Gaza".

Emiriah yang kaya dengan gas itu telah terbabit dalam beberapa minggu proses pengantaraan antara Israel dan Hamas untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tebusan dan tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 10:22 AM