WAN Mohd Assamudin membaca doa di luar pagar Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
WAN Mohd Assamudin membaca doa di luar pagar Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, 96, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang hari ini akibat dijangkiti Covid-19.

Anaknya, Wan Mohd Assamudin Ahmad, 58, berkata, Allahyarham menghembus nafas jam 12.57 tengah malam tadi.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham selepas dirawat di Hospital Kuala Nerang, Jumaat lalu.

"Saya akan tunaikan hasrat ayah untuk membantu menguruskan Pondok Ahmadiah, Allahyarham turut berpesan agar saya membantu mengajar di pondok berkenaan.

"Allahyarham sangat tegas dalam mendidik anak-anak dan dia mahu ilmu agama terus disebarkan kepada orang ramai menerusi sistem pengajian pondok," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, di sini, hari ini.

Jenazah dikebumikan jam 11.15 pagi tadi oleh kakitangan hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Wan Mohd Assamudin yang juga bekas pensyarah pengajian Bahasa Arab di Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (Insaniah) yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) berkata, semua tujuh adik-beradiknya yang lain tidak dapat mengiringi jenazah ke perkarangan perkuburan berikutan sedang dikuarantin di rumah.

Katanya, ibunya, Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83, turut menjalani kuarantin di hospital dan berada dalam keadaan baik.

Dilahirnya pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung Mukim Padang Terap, Allahyarham adalah Pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa'adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Mekah.

Antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu bapa mentuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Mekah.

Kemudiannya, Pak Teh Mad kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok pada 1961.

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan.

Sementara itu, seorang anak murid Allahyarham, Mohd Najib Ghazali, 43, berkata, gurunya itu tidak pernah mengeluh ketika diuji mahupun ketika sakit sehingga orang yang menjaganya tidak merasa tertekan atau susah.

"Saya tinggal dan belajar di pondok ini sejak usia 7 tahun bersama moyang dan nenek saya, Allahyarham sentiasa berpesan supaya saya dapat menjaga pondok selain mengambil lebih ramai pelajar untuk mendalami ilmu agama di situ.

"Beliau juga sering menasihatkan saya supaya tidak sombong dan sentiasa merendah diri, Allahyarham seorang yang sangat penyayang termasuklah kepada haiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 2:55 PM