GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Erika George


Sibu: Seorang guru rugi RM50,779 akibat ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, mangsa berusia 52 tahun menerima satu mesej menerusi aplikasi Telegram pada 4.25 petang 3 Mac lalu,

"Penghantar mesej memperkenalkan diri sebagai 'Mumtaz Azar' dari syarikat XM mempromosikan pelan pelaburan hanya memerlukan modal pelaburan permulaan sebanyak RM2,000.

"Mumtaz terus memujuk mangsa agar membuat pelaburan kerana nilai RM2,000 akan membolehkan keuntungan berlipat ganda sehingga RM35,000.

"Mangsa turut diberikan keyakinan akan menerima sejumlah RM35,000 dalam tempoh enam jam selepas melakukan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Collin berkata, suspek turut memberi jaminan bahawa syarikat hanya akan mengambil 30 peratus sahaja atau RM8,750 sahaja daripada keseluruhan jumlah keuntungan diperoleh mangsa.

Beliau berkata, selepas mangsa membayar RM2,000, suspek memintanya menambahkan lagi jumlah pelaburannya agar mendapat keuntungan lebih banyak.

"Mangsa yang kemaruk dengan keuntungan berlipat ganda itu membayar RM50,779, namun selepas beberapa ketika beliau tidak menerima apa-apa pulangan dijanjikan.

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek terus memaksa untuk menambah modal pelaburan, namun pulangan dijanjikan tidak diberi sebagai dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 8:35 AM