GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Jawatankuasa Fatwa Terengganu memutuskan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem sebagai sesat dan bercanggah dengan akidah Islam.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, pengeluaran fatwa berhubung ajaran itu diputuskan selepas mesyuarat jawatankuasa kali ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu dan atas perkenan Sultan Terengganu.

"Telah diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 16 November (Khamis) yang mana ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem difatwakan sesat, lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama al- Asya'irah dan al-Matrudiyyah.

"Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem termasuklah mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia Maha Berkuasa menciptanya.

"Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Sabri berkata, ajaran itu juga mendakwa sifat Allah SWT yang Maha Berkuasa dan jika menghendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, maka Dia akan melakukannya.

Katanya, dakwaan itu tersasar apabila menyatakan seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk.

Selain itu dakwaan kumpulan bahawa pentakwilan ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah seperti Istiwa', Wajh, Yad dan seumpamanya adalah sesat.

"Ia sama kedudukannya seperti ajaran kumpulan Mu'tazilah dan Jahmiyyah yang sesat," katanya yang memaklumkan kumpulan itu turut mendakwa golongan al-Asya'irah adalah sama dengan golongan Yahudi, Jahmiyyah, Mu'tazilah, Musyrikin dan penyembah lembu.

Mohamad Sabri berkata, ajaran sesat kumpulan itu apabila turut mengatakan akidah ulama al-Asya'irah seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam al-Syahrastani dan Sultan Ulama I'zzuddin Ibn 'Abd al-Salam adalah sama pegangan dengan akidah puak sesat Jahmiyyah.

"Selain mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah mati dalam keadaan kufur dan mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya'irah," katanya.

Katanya lagi, mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah haram.

"Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah fahaman ektremis agama atau golongan pelampau (ghuluw) yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka, atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat," katanya.

Mohamad Sabri berkata, apa-apa penulisan atau penerbitan bahan bercetak atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem juga dilarang dan perlu disekat.

Katanya, mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah tidak dibenarkan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai kaitan dengan ajaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 7:17 PM