MANHAJ akidah yang keliru mesti ditolak kerana manhaj akidah wajib dibina di atas asas jelas dan yakin.
MANHAJ akidah yang keliru mesti ditolak kerana manhaj akidah wajib dibina di atas asas jelas dan yakin.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Pada siri lalu dijelaskan mengenai kedudukan dua kitab yang dinisbahkan kepada Uthman bin Said ad-Darimi (wafat 280H), iaitu Naqdhu Uthman bin Said ala al-Marisi al-Jahmi al-Anid dan kitab ar-Radd ala al-Jahmiyyah.

Kedua-duanya mengandungi unsur fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah yang meyakini sifat Allah SWT itu berjisim, bersaiz dan berimej sama seperti sifat makhluk.

Di samping terdapat di dalamnya banyak riwayat daif, munkar, sangat lemah dan palsu yang tidak boleh dijadikan hujah sama sekali dalam perkara akidah.

Meskipun terdapat ibarat yang menunjukkan aspek tafwidh dan menafikan sifat Allah SWT beranggota dan berjuzuk, namun terdapat unsur tasybih dan tajsim (antropomorfisme) yang jelas dalam kedua-dua kitab berkenaan.

Jika diandaikan kedua-duanya sabit daripada beliau sekalipun, maka ia manhaj akidah yang keliru dan mesti ditolak kerana manhaj akidah wajib dibina di atas asas jelas dan yakin. Percampuran aduk sebegini sebenarnya berlaku dalam sebahagian kitab akidah lain yang disusun dalam kurun ketiga Hijrah ini seperti kitab as-Sunnah wa al-‎Jam'ah oleh Harb bin Ismail al-Sirjani al-Kirmani (wafat 288H) yang mensabitkan sifat 'bergerak' bagi Allah SWT.

Pengarangnya dikritik oleh al-Qadhi al-Ramahurmuzi (wafat 360H) dengan katanya: ‎‎"Sekiranya Harb mengukuhkan bersama-samanya riwayat hadis dengan kefahaman, nescaya ‎beliau akan menahan dirinya serta tahu apa yang keluar daripada lidahnya." Demikian juga kitab as-Sunnah yang disusun oleh Abdullah bin Ahmad bin Hanbal (wafat ‏290H). Terdapat unsur tasybih dan tajsim yang jelas dalam kitabnya seperti mentafsirkan istiwa sebagai duduk, menerangkan kaifiat keberadaan Allah di atas kursi, menyatakan Allah berbicara dengan Nabi Musa secara berdepan, menerangkan kaifiat Allah menulis Taurat dan pelbagai kaifiat lain yang bertentangan dengan akidah salaf dan juga akidah ayahnya, Imam Ahmad. Jelasnya, kandungan sedemikian bertentangan dengan akidah Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah yang berpegang dengan akidah tanzih iaitu menyucikan Allah SWT daripada tasybih dan tajsim. Disebabkan manhaj akidah yang tidak jelas serta berpegang dengan hadis munkar dan palsu, golongan tersebut juga dipanggil sebagai Hasyawiyyah. Timbul persoalan, kenapa sesetengah ahli hadis atau Hasyawiyyah dalam kurun ketiga Hijrah ini bertindak sedemikian? Jawapannya, ia ada hubung kait dengan kemunculan fahaman Jahmiyyah dan Muktazilah dalam kurun sebelumnya yang melampau dalam mengutamakan penggunaan dalil aqli (akal) ke atas dalil naqli (wahyu).

Fahaman Jahmiyyah dibawa oleh Jahm bin Safwan (wafat 128H), manakala fahaman Muktazilah dipelopor oleh Wasil bin Ata' (wafat 131H). Rentetan itulah respons sesetengah ahli hadis yang mengutamakan penggunaan dalil naqli menjadi agak berlebihan sehingga disedari atau tidak, mendekati pula kepada fahaman Mujassimah Musyabbihah.

Fahaman ini dikembangkan oleh Muqatil bin Sulaiman (wafat 150H) yang melampau dalam mensabitkan zahir dalil naqli (wahyu) dan menolak jauh dalil aqli (akal).

Kata Imam Abu Hanifah (wafat 150H): "Telah datang kepada kami dari Timur dua aliran yang keji, iaitu Jahm si mu'attil (menafikan sifat Allah) dan Muqatil si musyabbih (menyerupakan Allah seperti makhluk)." Katanya lagi: "Jahm terlalu berlebih-lebihan dalam menafikan sehingga dia berkata: "Sesungguhnya Dia bukan sesuatu apa pun." Muqatil pula terlalu berlebih-lebihan dalam mensabitkan sehingga dia menjadikan Allah Taala seumpama makhluk-Nya." (lihat Tahzib al-Tahzib, jld 10, hlm 281).

Selain segelintir ahli hadis yang terpalit dengan fahaman tasybih dan tajsim, kebanyakan ulama hadis tidak berlebih-lebihan dalam mensabitkan sifat Allah SWT serta menolak hadis lemah mengenainya. Kefahaman mereka ini sesuai dengan akidah ulama Salaf. Imam al-Bukhari (wafat ‏256H) misalnya, mengkhususkan dalam kitab Sahihnya satu bahagian khusus mengenai akidah bertajuk: Kitab at-Tauhid atau ar-Radd ala al-Jahmiyyah yang hanya memuatkan di dalamnya hadis sahih sahaja.

Meskipun dalam kitab beliau, Khalq Af'al al-Ibad tidak sedemikian kerana faktor penyusunannya berkait dengan menjawab fitnah yang dilontarkan kepada beliau berkenaan masalah lafaz seseorang membaca al-Quran, adakah ia makhluk atau bukan? Imam al-Bukhari menegaskan: "Perbuatan kita adalah makhluk dan lafaz kita pula adalah daripada perbuatan kita itu." Ini menunjukkan beliau bukanlah seorang yang menolak 100 peratus dalil aqli. Malah, beliau juga ada melakukan takwil.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar mengenai sumber rujukan Imam al-Bukhari dalam ilmu kalam: "Adapun masalah kalam maka kebanyakannya adalah daripada al-Karabisi (wafat 248H), Ibn Kullab (wafat ‏selepas 240H) dan seumpama mereka." (lihat Fath al-Bari, jld 1, hlm 293)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 6:00 AM