GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

AHLI Sunah Waljamaah adalah satu istilah yang merujuk kepada golongan yang mengikut mazhab salaf al-Soleh (sahabat Nabi SAW dan tabiin). Mereka berpegang kepada al-Quran, hadis dan kata-kata yang diriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW (semoga Allah meredai mereka). Istilah ini dipergunakan untuk membezakan golongan yang benar dan golongan sesat yang mengikut hawa nafsu.

Apabila istilah ini digunakan dalam kitab ulama maka ia bermaksud golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah, ahli fiqah serta ulama hadis. Ini kerana mereka semua berpegang dengan akidah Rasulullah SAW. Mereka tidak pernah menukar atau mengubah sebagaimana yang dilakukan oleh golongan yang terpesong hati mereka dan golongan melakukan bid'ah (penyeleweng agama). 

Sesungguhnya Rasulullah SAW menyebut sifat golongan yang berjaya bahawa mereka terdiri daripada majoriti umat Islam. Ciri-ciri ini terdapat pada golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah, ahli fiqah dan juga ahli hadis kerana mereka adalah jumlah umat Islam yang teramai. Mereka diakui tidak akan berhimpun pada perkara sesat dengan dalil hadis yang masyhur: "Umatku tidak akan berhimpun pada perkara yang sesat."

Imam Tajudddin Subki rahimahullah berkata di dalam kitab Ithaf Saadaat al-Muttaqin jilid 2 m/s 6): "Ketahuilah bahawa Ahli Sunah Waljamaah semuanya bersepakat atas satu pegangan mengenai sifat yang wajib bagi Allah SWT, sifat yang harus bagi Allah SWT  dan sifat mustahil bagi Allah SWT sekalipun cara mereka itu berbeza. Melalui hasil kajian yang dilakukan kami dapati mereka terdiri daripada tiga golongan:

Ahli hadis dan pegangan mereka berdasarkan dalil sam'iyyah (mendengar daripada lembaran wahyu). Apa yang saya maksudkan dalil kitab al-Quran, al-sunah dan ijma' ulama (kesepakatan muktamad ulama).

Tokoh pemikir Islam: Mereka ialah golongan al-Asy'airah dan al-Maturidiyyah. Di mana pemimpin golongan al-Asy'airah ialah Abu Hasan al-Asy'ari yang bermazhab al-Syafie. Manakala pemimpin golongan Mazhab Hanafi pula ialah Abu Mansur al-Maturidi yang bermazhab Hanafi.

Ahli Tasawuf: Mereka itu ialah ahli wujdan dan kasyaf. Permulaannya dasar mereka ialah dasar ahli Nazor dan ahli hadis. Dan akhirnya ialah kasyaf dan ilham." (Kitab Ithaf Saadaat al-Muttaqin)

Imam Adhduddin al-Iji RH berkata ketika menjelaskan mengenai al-Firqah al-Najiyyah selepas menyebut bilangan golongan yang binasa di dalam kitab al-Mawaaqif: "Dan adapun golongan yang mendapat kelepasan (daripada neraka) yang dikecualikan di mana Nabi SAW menerangkan perihal mereka itu dengan sabdanya: 'Mereka itu ialah orang yang berpegang dengan ajaranku dan sahabatku' maka mereka itu adalah golongan al-Asya'irah dan golongan Salaf al-Soleh yang terdiri daripada ulama hadis dan Ahli Sunah Waljamaah. Mazhab mereka itu sunyi daripada bidaah dan daripada mereka yang melakukan bidaah."' (Kitab al-Mawaaqif)

Imam Jalal ad-Duwaani (semoga dirahmati oleh Allah SWT) berkata dalam Syarh al-Aqa'id al-Adhdhiyyah Jilid 1:  "Golongan yang mendapat kelepasan daripada neraka adalah golongan al-Asya'irah. Iaitu mereka yang bersetuju dengan fahaman Syeikh Abu Musa al-Asya'ri hingga kepada Abu Hassan al-Asy'ari dalam permasalahan usul. Maka jika engkau kata: "Bagaimana boleh dipastikan bahawa al-Asya'irah ialah golongan yang mendapat kelepasan? Sedangkan setiap golongan mendakwa merekalah golongan yang mendapat kejayaan? Jawab saya: 'Gaya bahasa hadis memberi faham bahawa mereka (yakni golongan yang berjaya) ialah golongan yang beriktikad dengan pegangan yang diriwayat daripada Nabi SAW dan sahabat Baginda. Ia bertepatan sekali dengan pegangan al-Asya'irah. Ini kerana akidah mereka berasaskan hadis yang sahih yang diriwayat daripada Baginda SAW dan sahabat Baginda SAW.  Mereka tidak melampaui makna zahir mutasyabihat kecuali apabila sangat perlu kepadanya dan tidak terlalu mengikut akal seperti muktazilah."'

Cuma disebut al-Asya'irah sahaja dalam nas ulama disebabkan mereka adalah kumpulan Ahli Sunah Waljamaah yang teramai. Ia bukan bermakna mereka sahaja yang dimaksudkan dengan golongan yang mendapat kelepasan. Maka sesiapa sahaja yang tidak mengikut Imam al-Asy'ari, tetapi mereka itu bersetuju dengan pemikirannya turut dikira mendapat kelepasan daripada api neraka.

Al arif Billah Imam Ibn Ajibah Rahimahullah berkata di dalam kitabnya Tafsir al-Fatihah al-Kabir yang dinamakan al-Bahr al-Madid m/s 607 berbunyi: "Golongan Ahli Sunah Waljamaah mereka ialah golongan al-Asya'irah dan orang yang mengikut mereka pada pegangan yang sahih. Ia sebagaimana yang ditetapkan dalam kitab Ahli Sunah Waljamaah."

Imam Tajuddin al-Subki Rahimahullah SWT berkata di dalam Tobaqaat al-Syafi'iyyah Jilid 3 m/s 365:  "Syeikh al-Imam (maksudnya ialah ayahnya at-Taqiyy as-Subki) berdasarkan apa yang diceritakan olehnya kepada kami: "Saya telah meneliti sebuah kitab milik seorang yang berfahaman muktazilah yang dinamakan Tobaqat Muktazilah di mana dia telah memulakan kitabnya dengan menyebut nama Abdullah bin Mas'ud (semoga Allah meredainya) kerana bersangkaan beliau (Abdullah) berfahaman seperti mereka (semoga Allah menjauhkan daripada pegangan mereka itu). Katanya: "Ini adalah kemuncak kefanatikan Muktazilah kerana hanya orang yang begitu kuat fanatiknya akan menyandarkan pegangannya kepada seseorang. Saya berkata kepada Syeikh al-Imam: 'Sekiranya tindakan mereka itu menghasilkan faedah kepada mereka nescaya harus bagi Mazhab al-Asya'irah mengambil kira Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar RA daripada golongan mereka kerana pada dakwaan mereka itu bahawa mereka (al-Asya'irah) mempertahankan dan menolong akidah kedua khalifah berkenaan. Begitu juga akidah sahabat yang lain." '

Syeikh Imam terus tersenyum dan berkata:  "Pengikut seseorang ialah orang yang berpegang dengan mazhabnya dan berkata dengan kata-kata seseorang itu atas dasar mengikutnya yang mana ia lebih khusus daripada persetujuan. Ini kerana antara mengikut dan bersetuju itu mempunyai jarak perbezaan makna yang jauh sekali."

Imam Abdul Qahir al-Baghdadi berkata di dalam al-Farq Bayna al-Firaq: "Golongan yang ke-73 ini ialah golongan Ahli Sunah Waljamaah yang yang terdiri daripada kumpulan yang menggunakan akal (bertepatan wahyu) dan kumpulan ahli hadis. Manakala ulama fiqah, ulama Quran, ulama hadis dan ulama kalam daripada dua kumpulan ini semua bersepakat dalam satu pegangan. Tidak terdapat di antara mereka sikap menyesatkan dan menghukum jahat (menfasikkan) seseorang pada suatu perselisihan pendapat di antara mereka. Mereka itulah golongan yang mendapat kelepasan daripada api neraka, maka barangsiapa yang berfahaman seperti apa yang saya sebutkan dan imannya pula tidak bercampur dengan sesuatu unsur bidaah dan seluruh golongan yang mengikut hawa nafsu maka dia adalah daripada golongan yang mendapat kelepasan jika dia mati dalam keadaan sedemikian. Tergolong dalam jumlah ini juga ialah sejumlah umat ini yang terdiri daripada murid Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Auza'ie, al-Thauri, ahli Zahir..." (al-Farq Bayna al-Firaq)

Imam Abdul Qahir juga berkata di dalam kitab Usul al-Din:  "Sebaik sahaja selepas beliau menghitung imam Ahli Sunah Waljamaah daripada kalangan sahabat, tabiin dan orang yang menyusuri masa tabiin  pada masalah ilmu kalam ketuhanan: "...Kemudian zahir pula selepas mereka itu Syeikh Nazor (tokoh pemikir) dan pemimpin seluruh ufuk bumi dalam bantahan dan penjelasan permasalahan ketuhanan iaitu Imam Abu Hasan Ali bin Ismail al-Asy'ari yang memecahkan golongan Qadariyyah. Kitab-kitabnya telah memenuhi pelosok dunia ini. Tiada seorang pun daripada ulama kalam selepas mereka yang dikurniakan kelebihan sepertinya. Ini kerana semua ulama hadis dan ulama pemikiran yang tidak terjerumus ke dalam Muktazilah berada di atas aliran mazhabnya." (Kitab Usul al-Din)

Kesimpulannya, istilah Ahli Sunah merujuk kepada golongan yang benar-benar mengikuti dan mempraktikkan al-Quran dan Sunah dalam segenap aspek kehidupan. Jika mereka melakukan kesilapan mereka kembali kepada Allah SWT dengan melakukan taubat nasuha. Golongan al-Asya'irah, al-Maturidiyyah, ulama fiqah, ulama hadis adalah pelopor pemikiran Ahli Sunah Waljamaah. Pimpinan ulama sentiasa tampil ke tengah masyarakat memberi panduan dan pencerahan sekali gus bertindak tegas bagi membendung gejala penyelewengan agama. Semoga ulama sentiasa diberi keteguhan oleh Allah untuk memperjuangkan kebenaran dan mengikutinya. Manakala golongan yang mencemuh dan menghina ulama pastinya mereka golongan yang dihinakan Allah di dunia dan akhirat.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:26 AM